Cuba cari pasaran baru tambah pendapatan

Mukadimah
Umum mengetahui sos merupakan produk tambahan sering digunakan sebagai penyedap rasa. Akhir-akhir ini pelbagai jenama dipasarkan dan bagi masyarakat Pantai Timur jenama MH Mohd cukup sinonim. Boleh dikatakan, bila sebut sahaja MH Mohd, dialog mencuit hati sepasang suami isteri menerusi iklan komersial radio yang mempromosikan jenama itu automatik terlintas di kepala.

Isteri: Abe, sos tomota,colek . kicap cuka, habis belako doh ni..
(Abang, sos tomato, colek semuanya dah habis)
Suami: ai.. x kan habis doh, raso baru beli jah kan..
(ai, tak kan semua dah habis, rasa-rasanya baru je beli)
Isteri: emm… muga sedap.. budok-budok tu sekali likung jah
(emm…semuanya sedap, budak-budak tu sekali makan je)
Suami: pahtu gi la beli..
(lepas tu pergi la beli)
Isteri: kalu nak beli jange beli hok lain, beli hok MH Mohd
(kalau nak beli jangan beli jenama lain, beli MH Mohd
Suami: MH Mohd… ?
(MH Mohd)… ?
Isteri: Mh Mohd
(MH Mohd)
Suami: Alloe bekeng teeh!!
(Amboi, garangnya!!)

Sejarah penubuhan

M.H.Mohd Industries Sdn Bhd adalah syarikat bumiputera yang ditubuhkan sebagai pengeluar, pengilang dan pembekal pelbagai jenis produk berasaskan sos berjenama MH Mohd dan Fatina.

MH Mohd adalah singkatan bagi huruf M dan H daripada nama ahli keluarga Muhamad Yusof dan Hazizah Hamat.

Produk yang dikeluarkan jenama ini dipasarkan sebagai makanan untuk masakan, atau boleh dimakan terus mengikut kehendak pelanggan.

Rangkaian produk yang dihasilkan terdiri daripada sos cili, sos tomato dan kicap selain sos nenas, lada hitam, tiram lain-lain.

Perusahaan ini tergolong dalam kategori perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan telah bertapak lebih kurang 25 tahun lalu di daerah Wakaf Bharu, Tumpat, Kelantan.
Perusahaan secara kecil-kecilan

Pada awalnya perusahaan ini diusahakan secara kecil-kecilan di kediaman pengasas yang kini merangkap Pengarah syarikat iaitu Muhamad Yusof bersama isterinya, Hazizah Hamat.

Kini dengan usia penubuhan yang semakin matang syarikat telah berkembang dan mempunyai kilang pemprosesan yang besar sejajar peningkatan permintaan bagi memenuhi permintaan semasa.

“Segala peralatan kilang kini semakin lengkap dan berautomatik selaras matlamat kami untuk mengeluarkan produk berkualiti berteraskan halal untuk semua bangsa,”kata Muhamad.

Menurutnya, modal awal yang digunakan ialah RM100 dan produk pertama dihasilkan adalah sos cili.

“Kami mula memasak menggunakan satu periuk dan memulakan implementasi mesin beberapa tahun kemudian,”katanya.

Menyedari sambutan terhadap permintaan sos tinggi, pada 1994, syarikat mula memperkenalkan satu lagi jenama baru yang memfokuskan pada sos sahaja iaitu Fatina.

Kini secara keseluruhan, MH Mohd telah berjaya melahirkan produk jenama MH Mohd dan Fatina.Medan pemasaran
Menurutnya, dengan keupayaan kapasiti kilang yang luas, syarikat kini mampu membekal secukupnya barangan untuk diedarkan ke seluruh Malaysia.Katanya, peluang pemasaran juga bertambah besar apabila jenama MH Mohamad kini boleh didapati secara terus di beberapa pasar raya terkemuka seperti Tesco, Mydin, dan Carrefour.“Kehadiran produk kami di beberapa pasar raya utama menunjukkan bukti penerimaan pelanggan terhadap jenama kami.“Kesempatan ini juga mendorong kami untuk lebih produktif pada masa depan,”katanya.
Peluang pemasaran juga akan difokuskan kepada peruncit dan pemborong yang boleh membeli terus daripada mereka.Secara keseluruhan, syarikat kini telah berjaya mengeluarkan 10 jenis produk dengan pelbagai rasa sebagai penambah selera pengguna.Perancangan akan datang
Melihat potensi dan pemasaran yang kian berkembang, Muhamad berkata, syarikat optimis meluaskan lagi pemasaran ke beberapa negara luar.

“Hasrat untuk melebarkan sayap perniagaan ke luar negara sememangnya menjadi impian, terutama bila mendapat sokongan kerajaan selaras membawa nama Malaysia ke persada dunia,”katanya.

Jenama MH Mohd juga turut serta dalam beberapa pameran membabitkan barang buatan Malaysia seperti Pameran Perdagangan Halal Antarabangsa (Mihas) membolehkan mereka bukan sahaja menjadi jaguh kampung tetapi tersohor ke serata dunia.

“Daripada beberapa pameran yang kami sertai, banyak manfaat terutama dari segi membina jaringan untuk mendapatkan rakan niaga dan bertukar-tukar pandangan terutama dalam mencari peluang meluaskan pemasaran contohnya seperti Mihas,”katanya.

Muhamad berkata, peluang pemasaran produk ini memang sentiasa meningkat kerana ia adalah salah satu keperluan harian pengguna dalam menyedapkan makanan seharian.

Kelebihan Produk
Katanya, bagi mengekalkan daya saing, MH Mohd sentiasa menitikberatkan soal kualiti dan rasa.

“Kami cuba mengekalkan kualiti rasa dengan tidak menggunakan pewarna dan penambah perisa tambahan (MSG) kerana sos keluaran kami menggunakan cili segar dalam kuantiti banyak untuk memberi lebih kelazatan di samping menjaga kesihatan pengguna,”katanya.

Sebagai usaha pengembangan, beliau berkata, syarikat juga sedang berusaha untuk mengeluarkan produk lain dengan berkonsepkan Halallan Toyyiban.

Matlamat Jangka panjang
Muhamad berkata, syarikat kini mula mencari peluang untuk mengeksport.
Katanya berdasarkan tinjauan dan pemerhatian, pasaran Timur Tengah, Eropah dan Amerika adalah negara sasaran yang dilihat sebagai berpotensi.

Selain itu, sebagai memperkasa syarikat dan pengurusan, syarikat akan meneruskan prosedur 5S dan melaksanakan Pengilangan Amalan Baik (GMP) agar produk yang dihasilkan berkualiti dalam mahupun luar negara.